3224

Selangor menamatkan kempen Piala Malaysia 2013 dengan meraih kemenangan sulung ketika menewaskan Johor 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Peluang Selangor untuk ke suku akhir sudah pun tertutup selepas sekadar meraih seri 1-1 dengan ATM di Stadium Selayang, malam tadi.

Biarpun sudah tidak berpeluang, jurulatih sementara Selangor, P Maniam tetap menurunkan kesebelasan terbaik.

Namun kedudukan pada babak pertama terikat tanpa jaringan.

Johor bagaimanapun berjaya mendahului pada minit ke-47 selepas kapten, Farid Ideris mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Terjahan keras See Kok Luen terhadap Solihin Kanasian membawa padah apabila pemain tengah Johor itu dilayangkan terus kad merah oleh pengadil pada minit ke-55 untuk pelawat terpaksa meneruskan baki perlawanan dengan 10 pemain.

Peluang itu akhirnya dimanfaatkan Selangor dengan berjaya memperolehi gol penyamaan pada minit ke-69 apabila S Kunanlan yang beraksi di posisi bek kanan cuba melakukan hantaran lintang tetapi bola terus menjunam masuk ke dalam gawang Johor yang dikawal Fazli Paat.

Selangor terus bertambah yakin selepas itu dan akhirnya gol kemenangan berjaya diperolehi pada minit ke-75 menerusi sepakan lambung menarik Amri Yahyah dari luar kotak penalti.

Dengan kekalahan itu, Johor gagal ke suku akhir dan dua slot teratas menjadi milik ATM dan Sime Darby yang kedua-duanya terikat 1-1 di Stadium Selayang.

Tamat enam perlawanan Kumpulan A, ATM teratas dengan sembilan mata diikuti Sime Darby juga sembilan mata, Johor enam mata dan Selangor juga enam mata tetapi kurang dari segi jaringan.

Biarpun sudah menamatkan kempen Liga Malaysia musim ini, Selangor bakal turun bertemu Singapura untuk perlawanan tahunan Piala Sultan Selangor 2013 di Stadium Shah Alam, 28 September ini.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali, 16. S Kunanlan, 4. Asraruddin Putra Omar (c), 5. Adam Griffiths, 7. Adib Aizuddin Ab Latif (6. Nasriq Baharom '77), 9. Solihin Kanasian (11. Afiq Azmi '64), 15. K Gurusamy, 23. S Veenod, 24. Fitri Shazwan Raduwan, 17. Amri Yahyah, 10. Francis Forkey Doe (13. Raimi Md Nor '82).

JOHOR: 21. Fazli Paat, 25. Alif Md Yusof, 4. Izuan Jarudin, 15. Hairul Nizam Hanif, 26. Fazly Mazlan, 12. Ezaidi Khadar, 7. Khairul Ismail, 22. See Kok Luen, 19. Rashid Aya, 10. Ezequiel Gallegos, 23. Farid Ideris (c) (11. Zamri Hassan '67).

Pengadil: Mohd Nazmi Nasaruddin